Tuesday 3 February 2015

KONFRONTASI: Indonesia - Malaysia The Undeclared War Part 2

Bahagian Pertama sila rujuk disini link.

Sebagaimana yang telah diterangkan pada Bahagian Pertama, ketika Konfrontasi berlangsung, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) hanya berkekuatan 8 batalion sahaja, dan Sarawak Rangers baru sahaja diserapkan kedalam ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dengan membentuk Batalion 1 & Batalion 2 Renjer Malaysia.

Berikut adalah peranan yang dimainkan oleh setiap batalion RAMD semasa Konfrontasi 1963-1966.


Batalion Pertama RAMD

1 RAMD yang berpangkalan di Taiping berada dibawah pimpinan Lt. Kol Abdul Jamil Ahmad telah digerakkan ke Sandakan, Sabah menggantikan 8 RAMD pada Julai 1964.

  • Markas Taktikal batalion ditempatkan di Kem Lapangan Terbang Sandakan
  • markas batalion bersama satu kompeni simpanan berada di Kem Kampung Jawa, Tawau
  • Satu platun kompeni simpanan ditugaskan di perairan Pulau Indra Sabak
  • Satu kompeni digerakkan ke Kinabatangan dengan satu platun mengawal keselamatan anggota pasukan Jurutera Australia yang sedang membina landasan kapalterbang
  • Satu kompeni di Lahad Datu
  • Satu kompeni di Pulau Sebatik dengan 2 buah helikopter ditumpangkan untuk kegunaan pasukan
Selain beroperasi memburu anggota bersenjata Indonesia yang menyusup masuk, 1 RAMD juga bertanggungjawab menghapuskan kegiatan lanun di perairan sekitar Sandakan. Walaupun 1 RAMD giat menjalankan operasi, tiada pertempuran berlaku. Seorang anggota mati lemas di Segama.

Bagi mengelakkan rasa jemu dikalangan anggota 1 RAMD, lokasi gerakan yang baru dicari. Semasa tinjauan lokasi dibuat, helikopter Alouette telah terhempas di satu kem balak di Pegagau, sembilan batu dari Semporna dalam perjalanan ke Tawau. Helikopter Alouette dipandu oleh Lt. (U) Mohamed Ngah Said dan dinaiki oleh Brigadier Tengku Ahmad Tengku Besar Burhanuddin (Panglima Briged ke-5 Infantri) mengalami keretakan di tulang punggung, Lt. Kol Abdul Jamil (kecederaan ditulang belakang), Major Keith Milner (cedera parah dan meninggal dalam penerbangan ke hospital), 

Batalion 1 RAMD mengakhiri tugasnya di Sabah pada Feb 1965 dan digantikan oleh 5 RAMD.


Peta Sabah dan tentera Komanwel (bawah)



Batalion ke-2 RAMD

Batalion ini yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru sahaja pulang ke Malaysia setelah berkhidmat di Congo sebagai pasukan pengaman antarabangsa di bawah misi United Nations (UN). Batalion 2 RAMD bertugas di Tawau selama 6 bulan menggantikan 3 RAMD, berada di bawah pimpinan Lt. Kol Mustaffa Abdullah.

Pergerakkan 2 RAMD ke Tawau selesai pada 15 Mei 1964 dan batalion menamatkan tugasnya di Tawau pada 21 Nov 1964 dengan digantikan oleh Batalion Pertama, Singapore Infantry Regiment (1 SIR).

Semasa di Tawau, batalion digerakkan di Pulau Sebatik, Bergosong, Cabang Tiga, Sungai Melayu dan Sungai Limau. Dalam satu kejadian, pasukan ini berjaya menyelamatkan lapan komando British apabila bot mereka mengalami kerosakan enjin dan hanyut ke perairan Indonesia.

Gambar hiasan - anggota ATM semasa Konfrontasi

Selepas pertempuran di Kalabakan


Batalion ke-3 RAMD

Batalion ini berpangkalan di Kem Kepala Batas, Alor Setar, Kedah dibawah perintah Lt. Kol. Othman Rani. Bagi menentang ancaman Konfrontasi, batalion ini ditugaskan ke Tawau pada November 1963. Kumpulan pendahuluan dari Kompeni B, diketuai oleh Mejar Mohd. Noor bin Malek meninggalkan Alor Setar menuju ke Kem Majidee, Johor Bahru pada 18 Nov 1963. Mereka kemudian menaiki kapal laut di Singapura, menuju ke Sabah.

Batalion 3 RAMD antara pasukan yang mempunyai rekod cemerlang dalam pertempuran. Pada tahun 1950, satu platun dari Kompeni D, 3 RAMD dengan kekuatan 25 anggota pernah bertempur dengan 250 pengganas komunis di Sungai Semur (link). Pada Konfrontasi ini, tragedi hitam telah terpahat dalam lipatan sejarah 3 RAMD apabila seorang pegawai dan tujuh anggota Platun 1, Kompeni A terkorban dan 18 lagi cedera didalam tragedi berdarah yang dikenali sebagai Peristiwa Kalabakan.

Tempat berlakunya peristiwa ini terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan, kira-kira 12 batu ke sempadan Kalimantan. Selain penempatan tentera, terdapat juga satu penempatan Pasukan Polis Hutan (PPH) dengan jarak kira-kira 300 meter antara satu sama lain. Pos PPH dengan kekuatan 15 anggota dipagari dengan dawai kawat berduri, manakala penempatan Platun 1, Kompeni A, 3 RAMD itu tanpa pagar. Kawasan penempatan ini kekurangan dari segi pertahanan kerana ketiadaan bekalan peralatan walaupun usaha mendapatkannya telah berulangkali dibuat. 

Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome yang memimpin Platun 1 sebenarnya adalah Pegawai Kenderaan Bermotor 3 RAMD, namun kerana batalion kekurangan ketua platun, beliau telah diarahkan oleh Pegawai Memerintah untuk mengetuai Platun 1. Beliau bersama-sama anggotanya sampai di Kalabakn pada 5 Dis 1963. Mejar Zainol Abidin Hj Yaacob, bersama satu seksyen dari Platun 10, Kompeni C, 3 RAMD kemudiannya ditumpangkan disitu, menjadikan kekuatan seramai 41 anggota, dan platun diketuai oleh Mejar Zainol.

Susunan penempatan adalah seperti berikut:
  • terdapat dua rumah atap yang menempatkan pegawai dan anggota platun
  • sebuah bangunan pejabat diseberang jalan berhadapan dengan rumah-rumah atap tersebut
  • tiga buah kubu pertahanan dengan setiap satu boleh memuatkan 3 anggota

Menurut laporan perisikan, seramai 130 anggota tentera Indonesia dari pelbagai unit telah bergerak menyusup masuk ke Malaysia pada pertengahan Disember 1963. Pasukan ini melewati Tarakan dan menuju ke kem balak Teck Guan dekat Kalabakan. Mereka dilaporkan telah merampas barang-barang dari sebuah kedai kepunyaan peniaga Cina semasa berada di kawasan Serudong Laut.

Menurut Sarjan Ab. Aziz Meon beliau bersama 14 anggota diberi masa empat hari untuk melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan melaporkan situasi kepada Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome. Pada jam 7.00 malam, 29 Disember 1963, mereka telah dipanggil pulang ke penempatan oleh ketua platun dengan dijemput oleh 2 buah Land Rover awam. Sarjan Abdul Aziz memberikan laporan lisan mengenai keadaan di Brantian kepada Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome sebaik tiba di kawasan penempatan pasukan, manakala anggota lain bersiap sedia untuk berehat dan tidur. Pada masa yang sama (kira-kira jam 8.45 malam) Mr. Rees, Pengurus Bombay Burma Timber Co. Ltd. datang bersama seorang lelaki bernama Sulaiman (datang bersenjata) menemui Mejar Zainol. Sarjan Abdul Aziz kemudian meninggalkan mereka dan diberitahu bahawa tidak ada "stand to" diadakan pada malam itu.

Dalam perjalanan menuju ke kediaman anggota, seorang pengawal telah menemui Sarjan Abdul Aziz dan memberitahu beliau melihat adanya pergerakan di dalam semak dibelakang rumah. Sebaik mendapat maklumat tersebut, Sarjan Abdul Aziz berkejar ke rumah dan mengambil senjata serta peluru. Pada masa yang sama beliau mengarahkan anggota membuat "stand to". Ketika mereka keluar dari rumah tersebut, anggota TNI telah mula melepaskan tembakan dan melemparkan grened ke arah mereka. Sarjan Abdul Aziz berjaya terjun ke dalam kubu bersama ketua platun dan dua anggota lagi. Mereka membalas tembakan dan juga melemparkan grened ke arah pasukan TNI. Pada masa yang sama Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome mengarahkan anggota mengambil perlindungan dan hanya melepaskan tembakan jika melihat anggota TNI.

Laungan ketua TNI "boneka Abdul Rahman, menyerahlah kamu" tidak dibalas dengan kata-kata. Sebaliknya masing-masing mencari sasaran dan melepaskan tembakan dengan SLR. Walaupun suasana itu menakutkan dan mengerikan, namun kami bertekad, biar putih tulang jangan putih mata, kata Pbt Mokhtar Hassan ketika ditemuramah pada tahun 2004.

Artikel ini diolah kembali dari tulisan asal oleh Mejar Syed Othman Syed Omar (1999)

Pegawai Waran 2 (PW 2) Awaluddin Kamoi menceritakan, lebih kurang jam 10 semasa pertempuran masih berlangsung, beliau nampak beberapa orang dihadapan rumah yang mereka diami, bertutur dalam loghat Indonesia. PW 2 Awaluddin melepaskan tembakan ke arah mereka tetapi dibalas dengan tembakan automatik sebelum menghilangkan diri.

Tembakan didapati datang dari pelbagai arah iaitu dari belakang kedua-dua rumah kediaman anggota, dari arah rumah Mejar Zainol, dari arah lapangan terbang dan balai polis. Mereka tidak dapat bergerak kerana menjadi sasaran tembakan dari pelbagai arah itu. Tembak menembak berhenti pada jam 11 malam. Mr. Rees bersama seorang lelaki menemui Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome sejurus pertempuran berhenti. Pada kira-kira pukul 3.30 pagi satu platun bantuan yang diketuai oleh Lt. Muda Wan Nordin Wan Mohammad tiba di penempatan Kalabakan. Anggota diarahkan mengumpulkan yang terkorban sambil memberikan rawatan kepada yang cedera. Setelah hari mulai cerah, mereka melakukan penggeledahan kawasan secara terperinci. Lapan anggota termasuk ketua kompeni didapati telah terkorban, manakala 18 lagi tercedera.

Senarai peralatan yang didapati hilang adalah seperti berikut:
  • 5 x rifel SLR, 11 x magazin, 6 x benet dan 12 alat pencuci senjata
  • 1 x senjata SLR HB bersama 6 magazin dan alat pencuci
  • 1 x machine-gun 9mm bersama 11 magazin dan alat pencuci
  • 2,253 butir peluru 7.62mm, 355 butir peluru 9mm, 57 butir Grened dan lain-lain 
Pagi esoknya, Sulaiman yang datang ke penempatan telah ditahan oleh Lt. Muda Raja Shaharudin Raja Rome. Setelah dilakukan pemeriksaan terdapat 3 kelongsong peluru terselit dipinggangnya, laras senjatanya juga didapati berbau serta ada kesan baru digunakan. Dia kemudiannya diserahkan kepada Polis Kalabakan.

Menurut Pbt Mokhtar Hassan, ramai anggota TNI dari kalangan 130 yang menyerang itu terbunuh, tetapi telah dibawa lari semasa pasukan mereka berundur. Ada antara mayat mereka ditemui beberapa hari kemudian samada ditimbus secara ringkas atau terapung setelah dibuang kedalam sungai berdekatan.

Sebuah helikopter tiba pada jam 11.00 pagi bagi mengeluarkan anggota yang terkorban dan yang cedera ke Hospital Tawau. Jenazah kemudiannya diterbangkan ke Labuan dengan pesawat Dakota dan penduduk tempatan Labuan telah membantu memandikan dan menyempurnakan jenazah. Ketibaan jenazah di Lapangan Terbang Sungei Besi pada keesokkan harinya disambut oleh para menteri kabinet dan pegawai tinggi ATM.


TNI yang berjaya ditawan



Tindakan susulan:
  • pada 12 Januari 1964 seramai 22 anggota TNI telah dibunuh dan bebrapa lagi ditangkap oleh pasukan 3 RAMD dan pasukan 1/10th Gurkha yang membuat operasi susulan.
  • pada 27 Januari 1964, satu kumpulan ronda dari Kompeni B, 3 RAMD pimpinan Lt. Muda Ishar Sham menemui perkhemahan musuh dan berlaku pertempuran. Seorang anggota TNI terbunuh.
  • pada 28 Januari 1964, Platun 6 yang dipimpin oleh Lt. Muda Abd. Aziz Shaari yang melakukan serang hendap di Merutai Estate berjaya membunuh 3 anggota TNI
  • sehingga 10 Februari 1964, seramai 29 anggota TNI berjaya dibunuh, 33 ditawan dan 22 menyerah diri.

Tugu Peringatan Kalabakan yang telah disempurnakan oleh Sultan Kedah selaku Kolonel YDP RAMD pada 6 April 2005. Foto oleh Blog Adventure Travel (link)


Senarai anggota 3 RAMD yang terkorban:
  1. Mejar Zainol Abidin Hj Yaacob
  2. L/Kpl Abdullah Abdul Rahman
  3. Pbt Abdul Aziz Abdul Ghani
  4. Pbt Ismail Mansor
  5. Pbt Mohamad Zain
  6. Pbt Ismail Mat
  7. Pbt Yusof Sulong
  8. Pbt Shamsudin Yasin
Senarai yang tercedera:
  1. PW2 Awaluddin Kamoi
  2. Sjn Abd Aziz Meon
  3. L/Kpl Osman Darus
  4. L/Kpl Isa Bujang
  5. Pbt Che Amat Che Leh
  6. Pbt Abdul Ghani Mohamad
  7. Pbt Shukri Suratman
  8. Pbt Mohamed Nafiah Yahaya
  9. Pbt Mohamad Nor Ahmad
  10. Pbt Yaacob Ngah
  11. Pbt Mohamad Arfah Almunir
  12. Pbt Ariffin Yusof
  13. Pbt Abdul Wahab Mat
  14. Pbt Yahya Yaacob
  15. Pbt Mat Sa'at Yaakob
  16. Pbt Ab. Karim Mat Johan
  17. Pbt Bidin Abu
  18. Pbt Mat Saad Othman

- BERSAMBUNG -



Beberapa link menarik berkenaan Konfrontasi. Saya pautkan juga beberapa penulisan dari blog-blog penulis Indonesia, tetapi berdasarkan temuramah dengan para bekas sukarelawan, mereka mengatakan pasukan RAMD dibantu oleh tentera Inggeris, sedangkan TNI dengan kekuatan 130 orang cuma berhadapan dengan 41 anggota dari 3 RAMD.


Utoh Paloi - TLDM kekang kemaraan KKO (link)
Andi Muhammad Aras - Dwikora, Terganyang di Malaysia (link)
Ismail Mat - (link)
Zarkasyi Van Bulungan (link)
Utusan Online - Nostalgia Konfrontasi (link)

No comments:

Post a Comment