Wednesday 4 February 2015

CIW: D Company, 3rd Ranger Batallion - 7 kills in single contact (1973)

Selang beberapa hari setelah dilantik untuk mengetuai Kompeni D, Batalion 3 Renjer pada bulan Julai 1973, Kapten Robert Rizal dan pasukannya telah digerakkan ke suatu kawasan berpaya di Nonok, satu kawasan yang tidak asing lagi bagi mereka kerana pada bulan Januari tahun tersebut, mereka telah berjaya membunuh 2 pengganas komunis di dalam satu gerakan. Kali ini, bulan Oktober, monsoon baru saja bermula dan keadaan dijangka tidak begitu ekstrem berbanding pada bulan Januari terdahulu.

Lt. Kol. (B) Robert Rizal saat menceritakan pengalaman kepada penulis baru-baru ini

Kekuatan musuh dijangka antara 60 hingga 70 orang dari Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU), diketuai oleh Komisar Politik Bong Kee Chok, dari Kompeni Pertama, PKKU yang menggantikan Kompeni ke-3 yang telah dihapuskan oleh pasukan keselamatan Malaysia. Kedudukan musuh telah ditanda pada satu petak peta (map square) berkeluasan 1000m x 1000m.

Pada 4 Oktober 1973, Kapt Robert Rizal dan pasukannya telah digerakkan ke Nonok dengan helikopter dan mendarat di satu landing point (LP) yang disediakan oleh pasukan jurutera kira-kira 6 km dari kawasan sasaran. Belum ada pasukan keselamatan lain yang pernah beroperasi di kawasan sejauh itu, dan dengan keadaan mukabumi yang berpaya pada musim tengkujuh, pergerakan menjadi sukar, seolah-olah memberikan kelebihan kepada PKKU yang beroperasi di situ. Kompeni D. 3 Renjer telah dipecahkan kepada 3 kumpulan - Markas Kompeni digabungkan dengan Platun 11 dibawah pimpinan Kapt Robert Rizal, Platun 10 diketuai oleh Sjn Zakaria dan Platun 12 dipimpin oleh Lt. M Zainil Annuar.


Platun Kilat, platun elit batalion Renjer



Pada 6 Oktober 1973, secara kebetulan hari ulang-tahun kelahiran ke-25 Kapt Robert Rizal, satu pasukan ronda dari Platun 12 telah diserang ketika mereka kembali ke pangkalan setelah keluar meronda. Renjer Mohd Salleh, penjejak hadapan telah terbunuh dan pengganas komunis melarikan diri. Dalam tindakan susulan, Lt. M Zainil Annuar telah menemui sebuah perkhemahan pengganas komunis yang telah ditinggalkan. Perkhemahan ini mampu menampung sehingga 70 orang pengganas komunis dan dianggarkan telah digunakan selama beberapa tahun. Lokasi yang telah di tandakan oleh pasukan perisikan amat tepat.

Platun 12 mengetuai penjejakan pada 8 Oktober 1973, diikuti oleh pasukan Kapt Robert Rizal kira-kira 1000 meter dibelakang. Pergerakan amat berhati-hati dengan mengikuti jejak pengganas komunis yang menuju ke Sungai Sadong. Pada keesokkan hari, Platun 12 menemui tempat rehat dengan tanda-tanda yang ia baru digunakan untuk satu malam. Menurut kesan jejak yang ditinggalkan, pasukan musuh dijangka berada hanya beberapa jam dihadapan Kompeni D, 3 Renjer.

Pada kira-kira jam 10 pagi, 10 Oktober 1973, Platun 12 telah membuat kontak dengan pengawal belakang pasukan musuh. Semasa tembak menembak itu, 2 pengganas komunis telah berjaya dibunuh. Menurut perkiraan Kapt Robert Rizal, pasukan utama musuh ada berhampiran dan mereka mestilah dihalang dari tiba ke Sungai Sadong, kerana besar kemungkinan mereka akan dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan bot. Setelah mayat pengganas komunis itu dibawa keluar dengan helikopter, penjejakan diteruskan oleh Kompeni D, 3 Renjer dimana mereka tidak berhenti memasak untuk makan tengahari kerana mengejar masa agar pasukan musuh dapat dipintas sebelum mereka tiba ke sungai.

Menerima pisau komando dari Panglima 3 Briged, Brig. Jen. Hassan Hj Salleh

Jam 7 petang, kegelapan kunjung tiba dan menyukarkan penjejakan. Masih tiada kontak dengan musuh walaupun jejak mereka masih baru. Untuk bergerak dengan lebih pantas, Kapt Robert Rizal mengarahkan pasukannya meninggalkan beg galas dan peralatan berat mereka di satu kawasan dengan dikawal oleh 6 anggota Renjer, manakala yang lainnya meneruskan pemburuan. Penjejakan diteruskan dengan menggunakan lampu suluh, bagaimanapun ia tidak semudah penjejakan di siang hari. Pasukan Renjer hanya mengikut arah tenggara ke sungai, iaitu arah jejak pasukan musuh yang konsisten sejak pemburuan dibuat. Kesemua anggota Renjer telah keletihan, dan sepanjang 7 hari bergerak di dalam kawasan paya, baju mereka tidak pernah kering dan kaki mereka kini merasa kesan kecederaan kerana berendam air dalam masa yang lama. Untuk menambah lagi kesukaran, lampu suluh tidak lagi berfungsi setelah kehabisan bateri dan hujan renyai turun pada kira-kira jam 9 malam. Di dalam hutan, dan kegelapan malam, jarak pandangan adalah kosong - tapak tangan yang diletak hadapan mata pun sukar dilihat.

Sungai Sadong dianggarkan lagi 4 kilometer dihadapan mereka, menandakan kedudukan musuh juga semakin hampir. Dengan berpandukan kepada cendawan (fungus) yang berkilat pada waktu malam, mereka dapat mengesan jejak musuh agak jelas (laluan musuh meninggalkan kesan merosakkan cendawan yang tumbuh melata sepanjang laluan tersebut). Dalam usaha mengejar kumpulan pengganas komunis itu, mereka tidak makan tengahari dan malam, dan terpaksa mengambil rehat yang singkat untuk mengembalikan tenaga. Pegawai Waran 2, Norizan Bakri mencadangkan penjejakan disambung pada esok pagi memandangkan kesemua anggota Renjer telah keletihan dan kelaparan. Bagaimanapun, Kapt Robert Rizal mengarahkan penjejakan dibuat untuk sejam lagi, dan jika tidak membuahkan hasil, mereka akan berhenti rehat. Jam menunjukkan waktu tengah malam.

Senarai penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dari Rejimen Renjer Diraja (link)

Tidak sampai sejam penjejakan dibuat, peninjau hadapan, L/Kpl Peter Bat Wan melaporkan yang dia terhidu bau ubat nyamuk (mosquito coils) yang dibakar. Ketika mereka cuba membuat tinjauan, hujan turun dengan lebat. Bunyi hujan lebat telah membantu pasukan Renjer membuat tinjauan rapat kerana pergerakan mereka tidak boleh didengari oleh musuh. Pasukan Renjer mengambil kedudukan kira-kira 50 meter dari posisi musuh yang dianggarkan 30 hingga 40 orang (60 orang menurut anggaran maklumat risikan), manakala pasukan Renjer hanya 15 anggota sahaja. Kapt Robert Rizal membahagi pasukannya kepada dua kumpulan, pasukan penyerang seramai 7 orang yang dipimpinnya sendiri, dan pasukan penyekat seramai 8 orang dipimpin oleh PW2 Norizan Bakri. Serangan dirancang akan dilakukan pada jam 6.30 pagi, atau jika terdapat pergerakan musuh, serangan akan dimulakan dengan tembakan dari Kapt Robert Rizal. Pada kira-kira jam 2.30 pagi pasukan penyekat telah mengambil posisi, dengan pergerakan mereka dibuat dalam perlindungan hujan yang masih turun. Musuh tidak menyedari kehadiran mereka, walaupun pasukan penyekat beberapa kali terlanggar khemah yang dipasang oleh pengganas komunis itu. Sementara menunggu jam 6.30 pagi (waktu serangan akan dibuat), kesemua anggota Renjer akan dapat merehatkan diri buat seketika, itu pun jika mereka dapat lelapkan mata dalam suasana tegang begitu.

Tiba-tiba pada jam 3.30 pagi, Kapt Robert Rizal terdengar bunyi bising dari arah perkhemahan komunis. Mereka telah bangun dari tidur, dan besar kemungkinan akan meneruskan perjalanan ke Sungai Sadong. Mereka menghidupkan unggun api untuk memasak sarapan pagi sambil mengeringkan uniform mereka, kerana ketika itu hujan sudah mula berhenti. Bagaimanapun, Kapt Robert Rizal khuatir mereka akan terlepas peluang untuk menyerang dengan elemen kejutan, dia mengarahkan pasukan penyerang bergerak menghampiri musuh. Pergerakan merapat amat perlahan dalam keadaan merangkak atau meniarap untuk mengelak bunyi bising. Setiap langkah yang diambil, harus mengelak dari memijak ranting reput atau apa sahaja yang boleh mengeluarkan bunyi bising yang mencurigakan musuh.

Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi apabila mereka berjaya menghampiri kawasan unggun api dengan jarak 15 meter. Renjer Md Desa, operator radio diarahkan menanggalkan set radio dan menyerang kearah basha pengganas komunis itu. Dia berada 5 meter dibelakang Kapt Robert Rizal. Ketika cuaca mula cerah, hanya 2 pengganas komunis kelihatan duduk berhampiran unggun api. Ini merisaukan Kapt Robert Rizal jika sebahagian besar dari mereka telah mula bergerak ke arah sungai dan meloloskan diri. Ada kemungkinan mereka telah menyedari kehadiran pasukan Renjer. Lima belas minit dari H Hour terasa begitu lama (jam menunjukkan hampir 6.15 pagi), Dalam fikiran Kapt Robert Rizal, selagi lama dia menunggu, pengganas komunis semakin bersedia tambah lagi cuaca semakin cerah, dan pasukan Renjer akan hilang elemen kejutan di dalam serangan tersebut.

Kira-kira jam 6.15 pagi, Kapt Robert Rizal mencapai grened M26, dan melontarnya berhampiran unggun api, malangnya grened tersebut jatuh kedalam lopak air dan gagal meletup. Dua pengganas komunis disitu melihat ke arah tempat jatuhan grened dengan terkejut, dan tanpa membuang masa Kapt Robert Rizal melepaskan tembakan short-burst dengan rifal Baretta. Renjer Md Desa turut menembak, sambil melaungkan kata-kata semangat "Agi Idup!" tetapi dilarang oleh Kapt Robert Rizal dari berteriak kerana dalam suasana samar-samar sebegitu, musuh akan menembak kearah suara atau teriakkan. Dalam keributan itu, anggota komunis berusaha melarikan diri. pertempuran berlangsung beberapa minit, dan dalam tempoh masa itu, Kapt Robert Rizal telah menggunakan lima dari tujuh kelopak (magazin). Kawasan itu dipenuhi dengan asap putih dari belerang senjata. Setelah tembak-menembak reda, Kapt Robert Rizal mengarahkan pasukannya membuat pertahanan keliling, sebagai persediaan jika pengganas komunis menyerang balas.

Ketika penggelidahan dibuat, 7 mayat pengganas komunis ditemui (4 wanita dan 3 lelaki) bersama-sama 35 beg galas, lampu suluh, parang Iban, senjata api buatan sendiri, pistol dan radio. Salah satu penemuan yang mengejutkan, tangkal berupa tulisan Arab atau Jawi ditemui dalam kasut salah seorang musuh yang dibunuh itu. Apa yang mendukacitakan, kejayaan ini tidak percuma, Renjer Md. Desa telah terkorban dan seorang lagi cedera.

Mesej kejayaan ini kemudiannya diterima oleh Pegawai Memerintah, Lt. Kol Philip Lee Khiu Fui, dan keesokkannya, Panglima 3 Briged Infantri, Brig.Jen. Hassan Hj Salleh ingin menemui Kapt Robert Rizal dan menyampaikan ucapan tahniah. Selang seminggu kemudian, Panglima Angkatan Tentera pula, Tan Sri Jen. Ibrahim Ismail tiba di Kuching untuk menemui Kapt Robert Rizal dan pasukkannya untuk mendengar sendiri apa yang telah berlaku sehingga kejayaan dicapai.

Cerita ini saya terjemahkan dari buku "My Adventure" tulisan Lt. Kol (B) Robert Rizal Abdullah PGB, Saya berkesempatan menemui beliau semasa di Taiping beberapa hari lepas. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t.



Lt. Kol (B) Robert Rizal juga menulis blog PGB Warrior (link) menceritakan pengalamannya dan aktiviti selepas persaraan.

Autograf untuk buku milik penulis! Terima Kasih, Tuan!

5 comments:

  1. Terima kasih saya ucapkan diatas kesudian bertemu dengan ayahanda saya...appreciate it very much ... ^_^

    ReplyDelete
  2. Terima kasih saya ucapkan diatas kesudian bertemu dengan ayahanda saya...appreciate it very much ... ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. My pleasure....memang seronok dengar cerita dari mulutnya sendiri, bersemangat jadiknya

      Delete
    2. My pleasure....memang seronok dengar cerita dari mulutnya sendiri, bersemangat jadiknya

      Delete
  3. Terbaik cerita ni...cuma, mana pergi ramai2 bandit...

    ReplyDelete