Wednesday, 19 November 2014

The History of Home Guard volunteer force in Malayan Emergency 1948-1960

Sepanjang penglibatan saya sebagai reenactor di Muzium Negara sempena Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia (link), dengan mengenakan pakaian seperti seorang Home Guard pada tahun 1950an, banyak respon yang menarik sepanjang pemerhatian saya. Generasi yang berusia lebih 50 tahun akan tersenyum dan bersalaman dengan saya sambil mengucapkan tahniah. Tergambar kegembiraan diwajah mereka seperti telah bertemu sesuatu yang lama telah "hilang" ditelan zaman. Generasi yang berusia 20an dan remaja sekolah tidak memberikan apa-apa respon dan ada yang merasa pelik mengapa seorang lelaki bersongkok dan bersenjata ada di perkarangan muzium - umpama "orang kampung" nak tembak tupai.


Semasa Perang Dunia Ke-2, di Britain, pasukan Home Guard juga dikenali sebagai Local Defence Volunteer (LDV) dengan keanggotaan seramai 1.5 juta. Kerana anggota-anggotanya ramai dikalangan mereka yang telah berusia, pasukan ini mendapat nickname Dad's Army (TV sitcom) dan pernah dijadikan sitcom oleh BBC pada tahun 1968 hingga 1977. Berbalik kepada LDV tadi, mereka merupakan barisan pertahanan kedua dibelakang angkatan bersenjata sekiranya Britain dicerobohi oleh tentera Jerman dan sekutunya.

Pasukan LDV di Central London 1940

Armband Home Guard

Anggota-anggota pasukan LDV sedang berlatih

Semasa zaman Darurat di Malaya, telah wujud beberapa pasukan keselamatan seperti polis, tentera, Special Constabulary (SC) dan juga Auxiliary Police (AP). Pasukan SC umpamanya, berperanan melakukan tugas-tugas kawalan estet, lombong dan kilang di kawasan luar bandar, menjadi pengiring kepada pengurus estet dan lombong, dan juga sekatan kawalan makanan. Pasukan separa tentera Jungle Squad (juga dikenali sebagai Flying Squad) ditubuhkan lewat 1948 ekoran keperluan mendesak memerangi komunis di hutan. Squad yang terdiri dari 15 hingga 20 orang ini diletakkan dibawah kawalan OCPD (Officer Commanding Police District). Pada tahun 1951, Jungle Squad telah diperbesarkan dan dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (Police Field Force).

Lt. Gen. Sir Harold Briggs, Pengarah Operasi pada 1951 telah menubuhkan pasukan Home Guard yang bertanggungjawab melindungi kampung-kampung dan kawasan berisiko dari sabotaj pengganas komunis. Usaha ini dimulakan pada lewat tahun 1951 dimana sebanyak 280 kampung baru penempatan semula (Briggs' Plan) mempunyai pasukan Home Guard mereka sendiri. Pasukan ini terdiri dari rakyat biasa yang tertakhluk kepada Home Guard Regulations 1951 dan 1952. Menurut peruntukan ini, mereka yang berusia diantara 18 hingga 55 tahun boleh dikerah untuk menjadi anggota Home Guard.








Pasukan ini telah ditubuh disemua peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung, dan anggota-anggotanya dilatih dalam berkawad, kemahiran mengendalikan senjata, taktik berkawal, bertempur, dan lain-lain lagi. Semasa menjalankan tugas, Home Guard diberikan surat kuasa dan tanda pengenalan diri yang merupakan kain bertanda HG yang dililit dilengan kiri baju. Pada awal penubuhan, kerana kekurangan senjata, ada anggota Home Guard yang hanya bersenjatakan parang sahaja. bagaimanapun, setelah ancaman komunis semakin berleluasa semasa awal tahun 1950an, persenjataan mereka telah ditambah.

Matlamat penubuhan Home Guard adalah seperti berikut:
  1. memastikan masyarakat luar bandar selamat dan mereka bertanggungjawab keatas keselamatan di kawasan mereka sendiri
  2. dengan penubuhan Home Guard, pasukan polis dan tentera boleh fokus untuk melancarkan operasi menghapuskan komunis, dan tanggungjawab mengawal kampung, estet atau lombong diserahkan kepada Home Guard yang mana kawalan 24 jam boleh dilaksanakan
  3. membendung penyebaran ideologi komunis yang dibawa oleh pasukan bawah tanah komunis - Min Yuen
Bagi kawasan kampung yang kurang dari 30 buah rumah, pasukan Home Guard dikehendaki bertugas secara berkumpulan tidak lebih 10 orang pada setiap malam, manakala bagi kampung yang lebih besar, 15 orang ditugaskan setiap malam dengan 3 dari mereka bersenjatakan senapang. Bagi Kampung Baru (new village), Home Guard bertugas sepenuh masa membantu tentera, polis dan SC termasuklah memeriksa tanda pengenalan penduduk dan bekalan makanan yang dibawa keluar masuk.

Pasukan Home Guard boleh dibahikan kepada dua unit:
  1. Static Home Guard - yang terdiri dari anggota-anggota baru yang harus melalui beberapa tahap latihan dan operasi, Tahap Pertama dimana mereka dilatih oleh pasukan keselamatan dari polis atau tentera dan tanggungjawab keselamatan dibawah polis dan tentera, Tahap 2, anggota Home Guard bersama-sama memikul tanggungjawab keselamatan bersama-sama polis dan tentera. Pada Tahap 3, anggota Home Guard yang terlatih dan berpengalaman mengambil alih tanggungjawab keselamatan kawasan mereka dari pasukan keselamatan.
  2. Operational Home Guard - anggota pasukan ini dipilih berdasarkan rekod baik dan kecekapan mereka. Latihan ala-tentera diberikan secara intensif kepada pasukan ini. Antara bentuk latihan yang diberi adalah menggunakan senjata dan menembak, membuat serangan keatas kedudukan komunis dan latihan bertahan dari serangan komunis. Pertandingan antara unit diadakan untuk meningkatkan kemahiran anggota seperti jungle contact, carbine competition, falling plate, pumpgun competition dan combined weapons competition.
Pada tahun 1950, terdapat 30,000 anggota Home Guard (25,400 Melayu, 3,500 Cina, 800 India dan 300 orang dari lain-lain kaum. Pada Disember 1950, pesara tentera Gen. E. B. de Fonblanque telah diarahkan melatih 42,000 anggota baru. Hasilnya pada pada hujung tahun 1951, keanggotaan Home Guard meningkat kepada 99,000 orang. Angka ini mencapai 250,000 orang pada bulan Jun 1953.

Secara umumnya sejak ditubuhkan hingga 1958, pasukan Home Guard berjaya membunuh 221 pengganas komunis dan mencederakan lagi 110 oramg. Juga seramai 123 pengganas komunis telah menyerah diri kepada pasukan Home Guard. Pasukan Home Guard dibubarkan secara rasminya pada 1 Julai 1959 setelah keamanan dicapai dan tiada lagi keperluan mengekalkan pasukan ini.


Kredit: Mohd Razali bin Yaacob @ Jusoh 


Monday, 10 November 2014

Bekor Tragedy 5 March 1946 - 105 massacred by MPAJA

Berikut adalah ringkasan artikel yang disiarkan oleh majalah Perajurit keluaran bulan Mac 2001.

Kampung Bekor adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dengan penduduk seramai 400 orang. Pusat penempatan adalah dua deretan rumah kedai di jalan utama yang diduduki oleh peniaga-peniaga bangsa Cina yang dikelilingi oleh perkampungan Melayu. Pengangkutan utama adalah menggunakan perahu, memandangkan tiada jalan darat yang menghubungi Bekor dengan pekan-pekan utama lain seperti Parit dan Kuala Kangsar. Jalan darat yang ada hanyalah lorong pejalan kaki yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki atau berbasikal.

MPAJA juga dikenali sebagai Bintang Tiga


Semasa era pendudukan tentera Jepun di Malaya (link disini), Bekor merupakan tempat penduduk Malaya berbangsa Cina lari menyelamatkan diri dari kekejaman tentera Jepun. Ini adalah kerana kawasannya yang terpencil dan mungkin tidak mempunyai apa-apa kepentingan strategik kepada pihak Jepun. Pihak Koumintang dan Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) turut menjadikan Bekor sebagai tempat persembunyian dan operasi. Bekor mempunyai laluan selamat ke Sungai Siput yang ketika itu merupakan kawasan utama MPAJA.

Bendera MPAJA

MPAJA berjaya mempengaruhi sebahagian besar penduduk Bekor untuk menyokong perjuangan mereka, manakala kehadiran Koumintang pula tidak begitu disenangi kerana mereka cuba mengenakan cukai terhadap tanaman seperti padi huma yang ditanam oleh penduduk-penduduk di Bekor. Pemuda-pemuda Bekor yang patriotik mendapatkan lathan dengan MPAJA kerana ianya satu pasukan gerila yang mendapat bantuan persenjataan dari British. Pemuda-pemuda ini dihantar ke Sungai Siput untuk mendapat latihan lanjutan. Bagaimanapun tidak semua bersetuju dengan ideologi komunis yang dibawa oleh MPAJA. Berikutan perbezaan pendapat dan pertentangan, ramai yang meninggalkan perjuangan.


Apabila tentera Jepun menyerah diri secara mengejut pada 15 Ogos 1945, pasukan tentera British yang pertama tiba di Malaya pada 3 September 1945. Hanya pada 12 September 1945, British Military Administration (BMA) ditubuhkan di Kuala Lumpur. Bermula tarikh itu, BMA telah diberi mandat untuk memerintah Malaya. MPAJA bagaimanapun enggan menyerahkan senjata walaupun pasukan mereka seramai 6,800 anggota telah dibubarkan dengan rasmi oleh BMA. Di anggarkan 4,000 anggota MPAJA yang terlatih dikekalkan dan sebahagian besar senjata disorokkan oleh mereka.

Kedudukan Bekor dan daerah Kuala Kangsar (kredit Perajurit)

Sepanjang kekosongan kuasa (15 Ogos 1945 hingga 3 September 1945), MPAJA telah keluar dari persembunyian dihutan-hutan dan mendirikan pentadbiran dikawasan yang mereka kuasai. Pihak MPAJA yang mempunyai pengaruh yang kuat di Bekor telah menjadikan Bekor sebagai pusat pentadbiran untuk daerah Kuala Kangsar. MPAJA telah menjadikan sebuah sekolah di Bekor sebagai pejabat mereka, dan disinilah arahan-arahan dikeluarkan untuk memburu musuh-musuh mereka yang dahulunya penyokong kepada pemerintahan tentera Jepun. Unit-unit pemburu MPAJA ini juga terdiri dari anggota-anggota berbangsa Melayu selain majoritinya Cina. Sekolah tersebut juga dijadikan markas operasi untuk menyoal siasat, menyeksa dan membunuh individu yang bersimpati dengan Jepun.

Apabila tentera British telah kembali menduduki Malaya, MPAJA diberi kata dua supaya berundur dari kawasan-kawasan yang telah mereka kuasai. Dengan ini, MPAJA telah memindahkan markas mereka dari Bekor ke tempat baru berhampiran Sungai Siput. Penduduk-penduduk Cina juga telah berpindah dari Bekor kerana khuatir akan tindakbalas British jika berlaku permusuhan antara kedua pihak dan sebahagian besar dari mereka telah berpindah ke Manong. Berlainan pula dengan penduduk Melayu yang pernah menyertai MPAJA, mereka kini berada didalam dilemma kerana tujuan utama menyertai MPAJA adalah kerana hendak membebaskan diri dari penindasan Jepun. Dengan kembalinya keamanan, perjuangan MPAJA dilihat seperti sudah tidak relevan, mentelah lagi mereka tidak boleh menerima ideologi komunisme yang diperjuangkan oleh MPAJA. Mungkin kerana faktor ini, penduduk Bekor dianggap sebagai satu ancaman kepada MPAJA kerana mereka tahu bagaimana cara MPAJA beroperasi, termasuk juga jalan-jalan rahsia dan lokasi kem-kem rahsia MPAJA. Keadaan ini telah menimbulkan suasana tegang antara MPAJA dan orang Melayu, Menurut salah seorang penduduk yang telah terselamat melalui peristiwa tersebut, beliau masih ingat seorang kawan bapanya yang berbangsa Cina telah beberapa kali datang ke rumahnya dan meminta mereka berpindah kerana keselamatan mereka tidak lagi terjamin jika mereka terus tinggal di Bekor.

Sungai Perak

Pada 5 Mac 1946, tepat jam 5:30 pagi gerombolan yang disyaki MPAJA, orang-orang Cina dan juga beberapa orang Melayu (dianggarkan mencecah 1,000 orang) telah mara ke Bekor dari kawasan-kawasan bukit tempat mereka bermalam sebelumnya. Jambatan yang menghubungi Bekor dan Mandah telah dipasang dengan jerangkap samar bagi menghalang bantuan orang-orang Melayu tiba dari Mandah. Pasukan penyerang telah dibahagikan kepada dua kumpulan, dimana kumpulan pertama bertanggungjawab membakar rumah-rumah, dan apabila penghuninya keluar, pasukan kedua akan membunuh mereka. Tiada senjata api digunakan, kesemua mereka bersenjatakan tombak, pedang atau parang mungkin kerana hendak mengelakkan bunyi letupan senjata yang boleh didengar jelas pada waktu subuh.

Dalam kegelapan subuh, terkejut dan suasana kelam kabut, ramai penduduk telah dapat dibunuh, namun ada juga yang sempat melawan dengan bersenjatakan pedang dan parang. Penduduk Bekor tidak mudah menyerah kalah, mereka melawan bermati-matian dan pertempuran berlanjutan sehingga matahari meninggi. Antara pertempuran sengit adalah di perkarangan rumah Uda Mashyur, dimana ia dipertahankan oleh 7 lelaki sehinggalah mereka semua terbunuh. Ketua kampung, Tuan Haji Muhammad Ali mendapat cedera ditangan setelah berjaya membunuh beberapa penyerang. Bagi wanita dan kanak-kanak yang terselamat, mereka telah terjun kesungai dan berlindung dengan kegelapan untuk menyelamatkan diri. Akhirnya pada kira-kira jam 11 pagi, gerombolan yang menyerang telah mula berundur membawa bersama kesemua mayat kawan-kawan mereka yang terbunuh.

Rumah-rumah di Bekor yang masih ada kesan dibakar (foto: Perajurit)


Mereka yang gugur dikebumikan ditapak mereka tewas (foto: Perajurit)



Hanya pada waktu tengahari barulah penduduk kawasan berdekatan memasuki Bekor. Mereka yang terkorban dikebumikan di tempat mereka dibunuh, tanpa kapan dan dianggap syahid. Kebanyakan yang tewas berjuang dalam kumpulan dikuburkan bersama. Keesokkannya pasukan tentera Gurkha tiba tetapi anggota pasukan gerombolan yang menyerang telah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Kesemua penduduk Bekor dibawa ke Balai Polis Manong dan ditempatkan selama sebulan disana sebagai pelarian. Mungkin kerana hubungan yang baik antara orang-orang Cina dan penduduk Melayu di Bekor, selepas kejadian itu maklumat rahsia mengenai serangan telah dibocorkan. Menurut beberapa keluarga Cina, setiap keluarga dikerah untuk menghantar wakil menyertai serangan tersebut dan jika enggan, wang sebanyak 25 Ringgit hendaklah dijadikan penebus diri. Pada tahun 1946, tambah lagi selepas perang tidak banyak keluarga yang mampu mengadakan 25 Ringgit. Apa pun, motifnya bukanlah perkauman kerana terdapat para penyerang yang terdiri dari orang Melayu juga, serta amaran-amaran awal yang diberikan oleh orang-orang Cina kepada kawan-kawan mereka yang berbangsa Melayu menunjukkan keakraban hubungan antara kaum di Bekor ketika itu.

Tragedi Bekor adalah peristiwa hitam di dalam episod sejarah negara yang mungkin masih ramai tidak tahu. Kubur-kubur mereka yang terbunuh manjadi bukti kepada peristiwa tersebut. Usaha majalah Perajurit menyiarkan artikel berkenaan peristiwa ini wajarlah diberikan pujian supaya dapat dibaca dan diingati oleh generasi kini. Hanya setelah 13 tahun artikel ini dikeluarkan, saya ringkaskan dan tulis semula untuk tatapan anda semua untuk kita jadikan peringatan akan perjuangan dan pengorbanan orang-orang terdahulu.